Kisah Kejayaan

Suri Rumah Celik IT Dengan Bimbingan IT Dari PI

Menyedari kekurangan ICT di dalam dirinya, Puan Non Sazarina Binti Sulaiman , telah mendaftar sebagai ahli di PI pada awal tahun 2017 dan mula menyertai kelas ICT yang diadakan. Di situlah beliau mempelajari semua modul pembelajaran yang disediakan, iaitu asas komputer, pengenalan internet, membaca blog-blog kesihatan.

Setelah mengikuti beberapa bengkel dan program kesedaran ICT selama tiga bulan, beliau kini yakin untuk menggunakan komputer beliau di rumah yang dilengkapi dengan internet kerana beliau menyatakan bahawa beliau memiliki sebuah komputer tetapi tidak pernah digunakan.

Beliau seorang suri rumah yang gemar menghasilkan makanan yang sihat dan sedap untuk anak-anaknya berasakan bahawa beliau amat beruntung kerana tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak hanya kerana untuk membeli buku masakan. Kini beliau hanya boleh membaca di blog-blog masakan ataupun menonton secara terus di laman Youtube. Selain daripada masakan, beliau turut menggemari kraftangan. Oleh itu, beliau mudah untuk mempelajari dan mendapatkan idea-idea baru tentang kraftangan melalui blog-blog kraftangan.


Bapa celik IT dengan bimbingan ICT dari PI

Kesibukan bekerja merupakan salah satu faktor Encik Nizan Bin Abdul Jamil terpaksa melupakan minatnya mempelajari ICT. Namun, sejak terbinanya PI pada tahun 2016, beliau mengambil kesempatan itu untuk mendaftarkan dirinya sebagai salah seorang ahli dan kembali berminat mempelajari ICT disana. Selaras dengan zaman moden pada masa kini, beliau menyatakan hasrat untuk mempelajari ICT agar dirinya tidak ketinggalan dengan arus permodenan.

Di PI, beliau mempelajari beberapa modul pembelajaran ICT yang disediakan seperti asas komputer, pengendalian papan kekunci dan tetikus serta pengenalan internet dan laman web dengan percuma. Sepanjang proses pembelajaran yang telah berlangsung selama 4 bulan, beliau kini semakin yakin untuk menggunakan komputer dengan sendirinya. Beliau juga tidak kekok mengendalikan papan kekunci dan tetikus. Berkat ilmu ICT yang dipelajari di PI, beliau telah berjaya untuk mendaftarkan anak perempuannya ke darjah satu yang perlu dilakukan secara atas talian.

Dengan kemudahan ICT pada masa kini, beliau sedar bahawa ICT amat memudahkan urusan terutamanya dalam urusan pendaftaran anaknya kerana tidak perlu bersusah payah untuk beratur seperti yang sering dilakukan pada masa dahulu. Beliau juga berasa beruntung kerana beliau lebih mudah untuk mencari maklumat berkenaan pendidikan yang dapat digunakan untuk membantu anaknya yang baru berusia 6 tahun.


Pelajar celik IT dengan bimbingan ICT dari PI

Mohammad Irfan Bin Nor Aripin merupakan seorang pelajar sekolah rendah yang bersekolah berdekatan dengan kawasan Kota Pekan. Beliau merupakan anak terakhir daripada lima orang adik beradik. Ayahnya, Nor Aripin Bin Shamsuddin sedar betapa pentingnya ICT pada masa kini. Oleh itu, ayahnya telah mendaftarkan anaknya sebagai salah seorang ahli di PI dan sering mengikuti kelas yang dilakukan oleh staff di PI.

Melalui kelas latihan asas komputer dan ICT yang dilakukan di PI, beliau telah mula memahirkan diri menggunakan tetikus dan papan kekunci. Beliau juga diajar melayari portal pendidikan dan melakukan ulangkaji pelajaran secara atas talian. Sepanjang hampir 6 bulan menghadiri kelas ICT di PI, beliau telah berjaya mempertingkatkan kemahiran ICT nya dengan mempunyai akaun Facebook miliknya sendiri. Sepanjang kelas berlangsung, beliau juga diberikan kesedaran dan pengetahuan mengenai kebaikan dan keburukan laman sosial yang perlu dihindarkan.

Dengan mempunyai akaun Facebook sendiri, beliau lebih mudah untuk menghubungi rakan sebayanya dan berkongsi gambar bersama keluarga. Beliau juga sedar bahawa laman sosial ini banyak membantunya untuk berhubung bersama guru jika mempunyai sebarang masalah pelajaran. Selain itu, ICT juga banyak membantu beliau mencari bahan rujukan pelajaran dan membantunya untuk mempersiapkan diri bagi UPSR yang akan datang.


Usahawan celik IT dengan bimbingan ICT dari PI

Menyedari kekurangan ICT di dalam dirinya, Encik Abu Samah Bin Kanchil telah mengambil inisiatif untuk mendaftarkan dirinya sebagai ahli di PI pada April,2017. Bapa kepada 4 orang anak ini merupakan seorang usahawan dalam sektor penternakan dan pengusaha kambing licin. Sedar akan peluang membesarkan perniagaan di laman sosial, beliau berasa terpanggil untuk menghadiri kelas ICT yang diadakan di PI. Sepanjang kelas ICT yang berlangsung di PI, beliau telah mempelajari beberapa modul pembelajaran seperti asas komputer dan pengenalan laman sosial.

Setelah 3 bulan menghadiri kelas di PI, kini beliau telah berjaya mempromosikan perniagaan beliau ke laman Facebook miliknya sendiri.Dengan adanya Facebook Page miliknya, beliau dapat membesarkan pasaran ternakannya dengan lebih meluas bukan sahaja dari penduduk tempatan malah penduduk luar daripada Negeri Sembilan juga. Sebarang tempahan untuk sebarang majlis terumatanya bagi Majlis Aqiqah dan Hari Raya Korban, boleh menghubungi beliau melalui aplikasi Whatsapp 019-6641018.


Celik ICT (Imam Masjid)

Encik Haji Md Isa merupakan seorang imam di kawasan sekitar Kota Pekan. Sifatnya yang ramah dan ceria menyebabkan beliau mudah didekati. Beliau sangat aktif dengan aktiviti di surau dan masjid di kawasan ini.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI

Setelah tamat bekerja, Encik Haji Md Isa sudah tidak menggunakan sebarang teknologi ICT dan menyebabkan beliau telah lupa menggunakannya. Kekangan masa juga merupakan salah satu faktor mendorong Encik Haji Md Isa ketinggalan dalam ICT walaupun beliau masih berminat mempelajarinya.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI

Melalui kelas latihan asas komputer yang dibimbing oleh staff di Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, Encik Haji Md Isa telah berjaya mempelajari asas ICT dengan mendaftar akaun Gmail miliknya dan telah mempunyai akaun Facebook miliknya sendiri. Beliau turut mempelajari cara – cara menggunakan internet dengan betul dan menggunakan tools yang ada di dalam facebook. Beliau juga telah mempelajari cara membaca dan menghantar email menggunakan akaun miliknya sendiri.


Celik ICT (Pesara tentera)

Encik Shaharuddin merupakan seorang bekas askar yang menghabiskan masa lapang beliau dengan melakukan kerja kampung dan beliau sangat meminati permainan Dart. Beliau turut aktif dalam Persatuan Veteran ATM dan seringkali menyertai aktiviti – aktiviti sukarelawan yang diadakan. Beliau turut menyediakan perkhidmatan permianan “dart” untuk sebarang majlis . Sebagai contoh beliau terlibat untuk menguruskan acara “dart” ketika Hari Sukan Negara Dun Kota.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI

Kesibukan bekerja dan tidak mempunyai fasiliti di rumah merupakan salah satu faktor menyebabkan Encik Shahruddin tidak mahir menggunakan komputer walaupun mempunyai minat yang sangat mendalam terhadapnya. Beliau rajin datang ke Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan untuk mempelajari asas – asas ICT.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI

Melalui kelas latihan asas komputer yang dibimbing oleh staff di Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, Encik Shaharuddin sudah mampu menggunakan komputer dan telah mempunyai akaun Gmail miliknya sendiri. Beliau juga mempunyai akaun facebook dan beberapa laman sosial lain dan sudah mula aktif menggunakannya untuk berhubung dengan rakan – rakan.


Pelajar Celik IT dengan bimbingan dari PI

Muhammad Ikram bin Muhd Nasir merupakan seorang pelajar tingkatan 3 yang bersekolah di SMK Dato’ Undang Hj Adnan. Pelajar yang tinggal di Rumah Rakyat Kota ini amat berminat mempelajari ICT dan merupakan seorang pelajar yang rajin. Beliau rajin datang ke PI dan menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan Kekurangan fasiliti untuk mempelajari ICT dan asas internet di rumah merupakan faktor utama beliau tidak dapat memahirkan diri dalam penggunaan komputer.

Beliau juga tidak dapat menggunakan ICT sebagai sesi pembelajaran tambahan seperti yang dinikmati oleh pelajar di bandar. Melalui penglibatan beliau di Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, beliau telah dapat mempelajari asas ICT dan penggunaan Internet secara percuma dan berkala. Melalui kelas yang dipelajari, beliau telah berjaya mendaftar akaun Gmail dan dapat mempelajari subjek di sekolah secara atas talian melalui portal eKelas. Beliau merupakan salah seorang peserta portal eKelas yang diwujudkan oleh Maxis. Portal ini membantunya untuk mengulangkaji pelajaran secara atas talian di samping dapat meningkatkan tahap kefahamannya terhadap subjek yang dipelajari di sekolah.


Usahawan celik IT dengan bimbingan ICT dari PI

Menyedari kekurangan ICT di dalam dirinya, Puan Mas Rahayu Abd Jalil telah mengambil inisiatif untuk mendaftarkan dirinya sebagai ahli di PI pada penghujung 2017. Puan Rahayu merupakan seorang suri rumah tangga dan mempunyai 4 orang anak yang masih bersekolah. Beliau merupakan seorang usahawan dan bergiat aktif berniaga di sekitar kawasan Rembau. Setelah tidak lagi bekerja, Puan Rahayu sudah kurang menggunakan komputer yang menyebabkan beliau tidak lagi ingat untuk menggunakannya.

Kekangan masa dalam menjaga anak-anak juga merupakan salah satu faktor beliau tidak lagi menggunakan komputer. Menyedari kewujudan Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan yang mempunyai latihan ICT secara percuma telah menarik kembali minat beliau untuk mempelajari ICT. Melalui kelas latihan asas komputer yang dibimbing oleh staff Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, Puan Rahayu telah berjaya untuk meningkatkan pengetahuan ICT beliau dengan mendaftar akaun Gmail dan Maybank2u. Beliau juga telah mempunyai akaun Facebook sendiri.


Suri Rumah Celik IT Dengan Bimbingan ICT Dari PI

Puan Khalida merupakan seorang suri rumah tangga dan mempunyai anak yang salah seorangnya merupakan kanak-kanak OKU berusia 16 tahun. Beliau merupakan seorang ibu yang penyabar dan sangat ramah dengan senyuman. Kekangan masa dalam menjaga keperluan anak-anaknya menyebabkan Puan Khalida agak ketinggalan dalam perkembangan ICT. Beliau lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan jarang berjumpa bersama rakan kenalan kerana anaknya memerlukan perhatian yang lebih.

Sedar akan kewujudan Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, beliau sedar bahawa beliau masih lagi boleh mempelajari ICT bersama-sama anaknya kerana Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan mempunyai kemudahan untuk digunakan oleh golongan kurang upaya (OKU). Melalui kelas latihan asas ICT yang dibimbing oleh tenaga pengajar Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan, Puan Khalida telah berjaya untuk membuka akaun Gmail dan Facebook miliknya. Kini beliau boleh menggunakan media sosial untuk berhubung bersama kenalannya. Beliau juga dapat mempertingkatkan kemahiran ICT beliau seiring dengan perkembangan masa kini. Beliau berasa sangat beruntung kerana wujudnya PI di kawasan berdekatan perumahan beliau.


Pelajar Celik IT Dengan Bimbingan ICT Dari PI

Aizat merupakan seorang pelajar Tingkatan 3 yang bersekolah di SMK Dato’ Undang Haji Adnan. Beliau merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik. Beliau seorang pelajar yang rajin dan suka mempelajari sesuatu yang baru. Aizat merupakan seorang pelajar yang lahir daripada keluarga yang sederhana. Ketiadaan kemudahan ICT dirumah merupakan salah satu faktor Aizat tidak mempelajari ICT walaupun beliau amat meminatinya. Sedar akan kepentingan ICT pada masa kini dan beliau juga akan menduduki peperiksaan besar pada tahun ini, beliau nekad ingin menjadi ahli Pusat Internet 1 Malaysia Kota Pekan dan tidak pernah gagal untuk menghadirkan diri sepanjang kelas ICT berlangsung di PI.

Selepas penglibatan Aizat sebagai salah seorang ahli PI dan sering mengikuti kelas ICT yang dijalankan di PI, Aizat telah berjaya meningkatkan kemahiran menggunakan komponen asas komputer seperti tetikus dan papan kekunci. Beliau juga dapat melakukan latih tubi selepas sesi persekolahan dengan mendaftar akaun portal eKelas yang diperkenalkan oleh Maxis dan beliau juga mempunyai akaun Youtube untuk memuat naik video hasil kreativitinya yang dipelajari melalui kelas ICT di PI. Beliau amat berterima kasih kepada tenaga pengajar PI kerana membantu mempertingkatkan kemahiran ICT beliau.


Pelajar Celik IT dengan bimbingan dari PI

Nurakmal merupakan pelajar asrama yang belajar di SMK Dato’ Undang Haji Adnan dan bakal menduduki peperiksaan besar iaitu SPM pada tahun ini. Beliau sering berkunjung ke Pusat Internet untuk menyiapkan kerja khursus yang perlu dihantar secara online. Sebelum penglibatan beliau di Pusat Internet, beliau banyak ketinggalan dalam perkembangan ICT. Kekurangan kemudahan di rumah dan di sekolah juga menyebabkan beliau tidak berkesempatan untuk mempelajari ICT.

Sedar akan kewujudan Pusat Internet yang berdekatan dengan sekolah beliau, beliau tekad untuk menjadi ahli Pusat Internet kerana terdapat kelas ICT secara percuma dan dapat membantu beliau menyiapkan pelbagai kerja sekolah yang memerlukan capaian internet. Selepas penglibatan beliau di Pusat Internet, beliau kini telah mempunyai akaun Gmail sendiri yang dapat memudahkan kerja beliau untuk menghantar kerja kepada guru. Beliau juga sering menghadirkan diri di dalam kelas latihan ICT yang dijalankan oleh Pusat Internet. Kini, beliau telah mahir menggunakan komputer, tetikus dan Microsoft Office. Beliau juga sering membantu rakan-rakan yang lain yang tidak mahir menggunakan ICT.


Pelajar Celik IT dengan bimbingan dari PI1M

Aimie Hariez merupakan pelajar asrama yang belajar berdekatan Pusat Internet Kota Pekan dan tahun ini merupakan tahun yang penting bagi beliau kerana bakal menduduki peperiksaan SPM. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik dan sering berkunjung ke Pusat Internet untuk mempertingkatkan kemahiran ICT beliau.

Kekangan masa dan kekurangan fasiliti di rumah dan di sekolah menyebabkan Aimie memendamkan minat beliau untuk mempelajari ICT. Disebabkan faktor tersebut, beliau banyak ketinggalan daripada kawan-kawan seusianya yang mahir menggunakan ICT. Sedar akan kewujudan Pusat Internet selepas staff Pusat Internet hadir ke sekolah beliau untuk membuat taklimat berkenaan kempen Klik Dengan Bijak dan portal e-Kelas, beliau berasa sangat teruja untuk mempelajari ICT kerana terdapat latihan ICT secara percuma yang diberikan di Pusat Internet.

Selepas penglibatan beliau di Pusat Internet, Aimie semakin mahir menggunakan komputer dan tetikus. Dari segi kemahiran ICT, beliau kini telah mempunyai Gmail dan Facebook miliknya sendiri. Beliau sering menggunakan Gmail untuk menghantar tugasan kepada guru dan sering menyiapkan tugasan diberikan oleh guru melalui Google Drive. Selain itu, media sosial juga membantu beliau untuk berhubung bersama rakan sekelas beliau memandangkan beliau merupakan pelajar asrama dan tidak dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke sekolah.